Tuesday, October 27, 2009

Diari hatiku- Teksi oh teksi


Salam
Rasanya hari ni perasaanku tak berapa baik,baru habis jawab exam first paper...
Entahlah rasa macam banyak lagi aku nak jawab tapi kesuntukan masa membataskan aku.
Tiap kali macam ni,dahlah tulisan macam doktor je..huhu. Lecture aku awal-awal dah menyampaikan amanat kalau jawab soalan periksa tu,janganlah nak jadi doktor ye...maaflah prof,memang tak dapat diselamatkan lagi..nak cepat terpaksalah pinjam tulisan doktor,hehe...nanti kalau lecture nak aku tulis tulisan paling comel prof kenalah buat soalan-soalan pendek yang tak memerlukan huraian yang terlalu panjang...haha macam berani je aku ni..

Dahlah periksa tadi aku keluar paling lambat,alih-alih aku bawa balik sekali kertas soalan tu. Tak perasan sangat.Kawan aku ketawa je...aku ingat nak pergi dewan hantar balik tapi kawan aku kata tak payah, simpan je lagipun itu kan kertas soalan je.Bolehlah aku bagi junior-junior aku nanti soalan tu.

Hari tu, maasa cuti study week (cuti seminggu untuk belajar) aku balik kampung aku, (huh,kampung macam jauh je dengar) padahal dekat damansara damai je dekat Selangor juga.Masa nak balik tu, aku pun bergegaslah pergi bus stop, nak tunggu bas, kebetulan aku jumpa kawan sekolejku, Farah taklah rapat tapi bila jumpa bertegur sapa. Cantik budaknya,pandai pula tu, budak kos undang-undang tapi tak pernah nak sombong dengan aku dan kawan-kawan yang kos biasa-biasa ni.Aku pun tegurlah dia, berbasa-basi tanya nak balik kampung juga ke?Dia tersenyum manis bila aku tanya.Alahai...manisnya. Rupanya dia nak pergi kem yang dianjurkan oleh biasiswa dia. Jadi sementara menunggu bas, aku borak-boraklah dengan dia. Lama juga borak-borak, bas tak kunjung tiba, jadi memandangkan destinasi yang kami mahu pergi iaitu ktm jadi aku ajak dia naik teksi saje. Malas nak tunggu bas, mesti lama...Dia pun bersetuju jadi aku pun tahanlah teksi. Tup..tup ada teksi lalu, tak semena-mena aku dengan dia masuk terus teksi tu. Hah..lega,pak cik tu pandang semacam je kitaorang berdua ni, baru aku perasan aku tak cakap nak pergi mana tapi terus je buka pintu teksi dan duduk. "Eh maaflah pakcik..lupa nak cakap, kami nak pergi ktm.." kata aku sambil ketawa." Tu lah pakcik pelik juga tadi..tiba-tiba kamu terus masuk, nanti tiba-tiba pakcik bawa balik rumah jadi orang gaji pakcik baru tahu..." gurau pak cik tu sambil ketawakan kami.Haha...kelakar aku pun tak perasan sebab mungkin excited sangat nak balik rumah ni.

Dalam teksi pak cik tu tegur aku, dia tanya ambil kos apa? Huhu..dah agak dah, tu soalan yang biasa ditanyalah bagi student macam kami ni. Aku sebenarnya malas nak cakap kos aku ni...mesti pakcik ni pelik dengar kos aku..."Oh, saya kos hubungan antarabangsa pakcik, kawan saya ni law" Tapi yang pelik pakcik tu tahu kos aku ni.Agak terkejut juga, pakcik ni bukan sebarangan rupanya dia dulu pernah kerja dengan bekas menteri besar negeri sembilan,huhu...tak ingat apa nama Menteri tu, tapi pakcik tu kata menteri tu ambil kos cam aku jugak tapi dekat UM.Aku mengangguk mengiyakan aje. Pakcik tu apa lagi sambil memandu dia bukalah cerita dia, tapi aku suka dengar sebab sambil cerita dia bagi nasihat. Yang paling buat aku ingat bila dia kata "sementara masih muda ni, belajarlah sebanyak mana yang boleh, tuntutlah ilmu kerana ilmu ni takkan habis jika diterokai bilamana kalau kita semakin mengejarnya ia akan semakin bertambah..." Aku mengiyakan kata pakcik tu. Tak sangka juga aku pakcik yang nampak biasa je rupanya pernah kerja besar, dekat Bank tapi dia dah bersara jadi daripada takl buat apa dia kata baik dia bawa teksi.Aku selalu juga jumpa pakcik-pakcik teksi yang macam ni, masa kerja part time kat jusco pun macam ni juga....

Sebenarnya apa yang aku nak kongsikan ialah yang sehebat manapun kita janganlah memandang rendah pada orang lain, hormat lah pada orang maka orang akan hormat kita, berbuat baiklah pada orang maka orang akan buat baik pada kita.Itu yang aku belajar berdasarkan pengalaman aku bekerja sebelum ni.Jujur aku katakan bekerja sebenarnya sangat penat jadi aku selalu ingatkan diri aku yang ummi dan abuya aku penat bekerja cari duit jadi aku kena belajar bersungguh-sungguh. Tak lama lepas tu kami sampai ke ktm, aku pun ucap terima aksih kat pakcik tu atas nasihat-nasihat dia. Terima kasih pakcik teksi...huhu

Semalamku yang lesu....



Semalamku yang lesu...
Pudarnya warna-warni itu,
Kelamnya cahaya citaku..
Mengakhiri riang hatiku ini...
Sebuah impian yang kubina,
Sebuah cinta yang ku lakar,
namun mengapa ia tumpas dalam rasa kekecewaan..

Semalamku yang lesu...
Sekeping hati yang telah dilukai
Disebuah pelabuhan yang terdampar sepi
Sendirian bersamaku disana
Menangisi sebuah penantian
Yang kukira entah bilakan berakhir
Kesedihan menyelinap dalam segala rasa
Hingga tidak tertahan kusimpan dalam diari hati ini
Perlukah ku menitiskan air mataku
Untuk rasa cinta yang sementara itu..
Untuk ketidakpastian sebenarnya
Yang mulanya ternyata ia tak kumiliki
Pencarian yang pasti menjanjikan suatu kehilangan

Semalamku yang lesu...
Hanya kusandarkan padaMu
Hanya berserah padaMu
Reda pada apa yang Kau takdirkan
Kerana aku hanya hambaMu yang lemah
Akhirnya cintaMu yang kutemui
Dalam lorong kegelapan dan kesedihan itu
Hingga aku temui cahaya cinta agungku
Buat aku menyisihkan kesedihan ini...
Ampunkanku Tuhan atas segalanya..
Kerna akulah wanita akhir zaman yang lemah dan berdosa..

Ashabul Yamin
KTHO,UKM
2 September 2009

Sunday, October 25, 2009

Cinta Yang telah Pergi-Siri 2


Loceng berbunyi menandakan waktu sekolah pada hari tersebut telah tamat.Aku bergegas menyandang begku.Selalu bila time nak balik sekolah mesti berkejar-kejaran macam ni bukanlah sebab aku ni nak balik awal tapi kerana waktu-waktu tengahari macam ni mesti bas lambat dan susah nak dapat,muka akupun rasa macam berkerut-kerut menantikan bas, sambil-sambil tu memandang jam ditangan.Tak kurang juga aku mesti mengeluh dalam hatiku sendiri ,manalah bas ni.....
Selalunya masa ini adik jiran aku, Anis mesti tengah tunggu aku. Anis muda setahun dariku,disebabkan kami tinggal agak jauh dari sekolah jadi kami selalu balik berduaan,ummiku selalu pesan kalau boleh balik biar sama-sama sebagai langkah keselamatan tapi kadang-kadang terpaksa juga balik seorang diri kalau Anis tak hadir ke sekolah.

Aku mencari kelibat Anis, dari jauh dia melambaikan tangan kepadaku sambil sebelah tangannya memegang aiskrim batang,rupanya tengah seronok beli aiskrim dekat kedai Mak Cik Jah adikku seorang ni...aku membisik dalam hatiku.
"Nah,ni aiskrim untuk akak Dijah" Anis menghulurkan sebatang aiskrim batang tersebut kepadaku.Kami beriringan berjalan menuju ke perhentian bas.
"Eh,terima kasih Anis, baiklah adik akak ni,bertuah akak dapat aiskrim time-time panas terik ni"ucap aku sambil tersenyum.Aku mengambil aiskrim yang dihulurkan Anis.
"Akak!..."jerit Anis mengejutkanku
"Kenapa?"aku bertanya
"Anis puasalah akak..."gomel Anis sambil mengerutkan dahinya
"Lah ya ke...macamana ni?kenapa boleh lupa ni???"
"Hehe...mana adalah akak,saja je buat akak gempak...suka tengok muka cuak akak tu..,mana ada orang puasa sunat hari rabu macam nilah akak,lagipun kan akak nampak Anis beli nasi lemak pagi tadi,akak ni percaya sangatlah..hehe,akak jangan marah ye" kata Anis sambil ketawa menampakkan baris gigi putihnya.

Aku tersenyum.Bertuah betul budak ni,boleh tahan nakal juga. Anis Sumayyah,seorang anak yang manja dalam keluarganya disebabkan dia adalah anak tunggal dalam keluarganya.Tapi aku suka dengan sikap kemanjaan dia yang bagiku kadang-kadang menghiburkan dengan perangai keanakan dia.Aku memang berfikiran lurus kadang-kadang.Entahlah bagiku aku lebih suka begitu,senang dan mudah.Kan elok jika kita berpandangan jujur dengan semua orang.Teringat Sarah yang selalu menegur aku bila kawan-kawan mengirim padaku membelikan mereka makanan dikantin ketika rehat.Sarah selalu memarahi menyatakan aku ni lurus sampai kena buli pun tak sedar.Entahlah,aku hanya mahu menolong,dan aku tak meraskan itu salah tapi mungkin juga kadang-kadang aku rasa susah juga bila tolong seorang, yang lain mula menambahkan pesanan mereka kepadaku tapi Sarah akan berpura-pura kata dia nak pergi perpustakaan hari ni dengan aku, menyebabkan mereka akhirnya tak berani menyuruhku lagi.Mungkin takut dengan sikap kawanku seorang tu.Sarah jarang marah jadi bila marah semua akan rasa takut nak memandang muka dia ketika itu.

Sambil menjilat aiskrim tropicana ditanganku,ternampak Nazarul Mubin,Rasyid dan kawan-kawan dia, mungkin budak-budak kelas sebelah,3 Bestari..tengah duduk menunggu bas. Kebanyakan pelajar di sekolahku itu menaiki bas kerana kebanyakannya tinggal agak jauh dari situ jadi kena naik bas kerana nak berjalan agak jauh, dan rasanya aku dengan Anis je yang tinggal paling jauh sekali.Entah kenapa aku dapat merasakan mata Nazarul memandangku agak lama jadi aku sengaja mengalih pandangan kearah Anis."Pelik" hatiku mula berbisik, rasanya mungkin hairan nampak aku makan aiskrim ni kot,tapi tak mungkinlah kan biasa je kalau orang makan aiskrim,ehm...takpun dia pandang Anis lah tu....kalau dah perempuan cantik mestilah jadi perhatian si jejaka,yalah tu.Kemudian mataku beralih ke arah Rasyid,entah dia tersenyum apa sambil membisikkan sesuatu kepada Nazarul.Kemudian si Nazarul tak semena-mena turut tersenyuman juga..em,macam tak betul je mereka-mereka ni,aku membisik dalam hatiku dan pada masa yang sama mulalah datang fikiran yang bukan-bukan dalam otak aku ni,ada apa yang tak kena ke? Entah kenapa sejak akhir-akhir ni dia tu asyik pandang aku semacam,kukira mungkin ni perasaan aku je...yalah kadang-kadang kita merasakan orang pandang kita tapi sebenarnya pandang orang lain...tapi tak kisahlah,bukan aku yang susah, mereka dan keluarga mereka yang susah..haha, hatiku berbisik lagi.Aku sekadar menghulurkan senyuman seadanya memandangkan kami rakan sekelas.Walaupun aku bukanlah boleh nak beramah mesra sangat dengan lelaki, nak bercakap pun kadang-kadang macam ada batu tersekat dekat peti suaraku ni tapi aku tetap tak mahu dipandang sebagai gadis sombong jadi itu je la yang mampu ku buat,sekadar menghulurkan senyuman sebagai satu sedekah.Ikhlaskah???entahlah...
Ya Allah,kenapalah aku ni asyik fikir yang bukan-bukan dan membuang masa mentakrifkan sesuatu yang hanya tidak ada faedahnya.Menghujahkan sesuatu yang tak perlu dihujahkan...kadang-kadang aku merasakan aku ni terlalu memikrkan sesuatu yang remeh tu terlalu jauh seolah-olah macam benda kecil aku cuba besar-besarkan...aku mengeluh sendirian...

bersambung....

Tahajud lambang cinta padaNya....


Padaku,tahajud bukanlah suatu yang mudah dilaksanakan lantaran kerana hanya manusia yang betul-betul cinta kepadaNya akan bangun di tengah malam terutamanya disepertiga malam untuk berkasih dengan tuhan dan mendirikan, sekurang-kurangnya dua rakaat selepas tidur walaupun tidur itu hanya sebentar.Walaupun tahajud bukanlah wajib tetapi hanyalah sunat namun ibadah ini tersembunyi suatu rahsia yang hanya akan dinikmati mereka yang selalu menunaikannya.Dalam Al-Quran,firman Allah Taala:

“Dan pada sebahagian malam, lakukanlah solat tahajud(sebagai suatu ibadah)tambahan bagimu mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji'(Surah Al-Isra' 17: Ayat 79)

Mudah-mudahan Tuhan mengangkatmu ketempat yang terpuji....ya,alangkah bertuahnya jika kita dipilih oleh Allah untuk diangkat ketempat yang terpuji kerana pada sepertiga malam itulah pintu langit terbuka seluas-luasnya dan Allah menanti untuk mengampuni hamba-hambaNya yang bertaubat.Maksud disini bukanlah Allah tidak menerima taubat hamabaNya di waktu-waktu yang lain tetapi dikatakan bahawa pada masa itu doa adalah paling mustajab.Dan malaikat dikatakan akan membawa kendi emas untuk menadah air mata mereka yang melakukan tahajud dan digunakan untuk menyiram api neraka di akhirat kelak.

Sebelum ini aku sering terdengar mengenai tahajud di radio IKIM (peminat setia zaman sekolah-sekolah dulu).Entah mengapa bila aku mendengar surah tersebut, hatiku bergetar, terlalu teringin untuk bertahajud.Pertama kali aku bertahajud rasa seolah-olah hati paling tenang yang bagiku sangat sukar untuk aku mengambarkannya kerana seolah-olah hati dipenuhi bunga-bunga cinta.huhu.

Jadi aku percaya kiranya aku pada masa itu jika hanya berbuat pertama kali apatah lagi mereka yang selalu bertahajud pasti merasai kenikmatan yang amat.Dan tika anda bertahajud titiskan lah air mata.Aku pernah mendengar seorang ustaz mengatakan yang Abu Bakar ra pernah berkata " jika anda tidak boleh menangis berpura-puralah seolah-olah anda menangis" aku tak pasti kesahihan ini tapi itulah yang aku dengar daripada ceramah seorang ustaz. Bagiku aku beranggapan makna disebalik berpura-pura itu mungkin dengan harapan suatu masa anda betul-betul akan menitiskan air mata.....berdoa semoga Tuhan melembutkan hati,mungkin anda boleh melagukan zikir tika itu...kerna hati yang lembut doanya mudah dikabulkan...tak hairanlah doa ibu didambakan dan tak hairanlah doa wanita mudah dimakbulkan kerana mereka lebih penyayang.hehe..

Tapi itu tidak bermaksud doa lelaki tak mudah dimakbulkan kerana sesiapa sahaja yang berdoa maka yakinlah bahawa doa anda akan dikabulkan.Saidina Ali ra pernah berkata "aku sentiasa bercita-cita untuk berdoa".Hal ini kerana doa adalah senjata mukmin yang paling ampuh.(dah masuk bab doa pulak...hehe).Berbalik pada tahajud jadikan ia sebagai amalan anda.Kalau boleh jadikan ia seolah-olah solat wajib bagi anda jika tidak mampu lakukanlah biarpun seminggu sekali terutamnya pada hari khamis malam jumaat. Contoh terbaik ialah Nabi Muhammad saw.Baginda sangat konsisten dalam melakukan solat-solat sunat termasuklah tahajud sehinggakan bengkak-bengkak kakinya.Aku tak dapat bayangkan sedangkan aku ni kalau berlama sikit mulalah mengeluh,lemahnya imanku...

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: “Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan akan membangunkan isterinya dan kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Dan Allah sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan sembahyang dan membangunkan suaminya dan jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya.” (Hadis Riwayat: Abu Daud)

Antara kelebihan melakukan tahajud menurut Saidina Umar Al-Khattab menyatakan fadilat atau kelebihan sembahyang malam dengan berkata maksudnya: “Sesiapa mengerjakan sembahyang malam (Tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah:

a. Jauh daripada segala penyakit

b. Lahir kesan takwa pada wajahnya

c. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia

d. Percakapannya mengandungi hikmat

e. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati).

Sementara empat perkara di akhirat ialah:

a. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri

b. Dipermudahkan hisab

c. Cepat melalui Sirat al-Mustaqim – seperti kilat

d. Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan.

Oleh itu sahabat-sahabatku dan juga diriku sendiri,marilah kita sama-sama tunaikan tahajud kerana kelebihannya sangat-sangat banyak.Kerahkan diri anda untuk cuba tunaikannya kerana anda akan merasai kenikmatannya.

sumber: http://www.pesima.net/index.php?name=News&file=article&sid=226&theme=Printer dipetik dalam harian metro

Cinta Yang telah Pergi-Siri 1



Aku menyedarinya Tuhan..bahawa aku hanya mencari ketidakpastian sedangkan aku tahu aku sebenarnya jahil.Jahil dalam mencari cinta.Mengapa harusku rasa kecewa melihat dia terlalu bahagia?Aku juga sedar bahawa aku masih mengharapkannya sedangkan itu hanya satu kenangan yang tersimpan dalam hatiku. Terlalu muda untuk rasa cinta itu sentiasa bercambah. Dia hanya memilihku sebagai seorang teman yang lama, yang pernah sama-sama merasakan kegirangan sewaktu bersekolah. Merasakan cinta tika remaja mula membisikkan kemudaannya.Aku yang membiarkan cintanya padaku terbiar. Maafkan ku kerana aku terlalu lambat merasakannya pada masa itu. Aku tidak mengerti erti sebuah cinta,aku tidak merasai apa itu sayang,adakah itu salahku??? Bukankah cinta itu datang daripada Tuhan...bukankah cinta itu milikNya dan Dia yang berhak mencampakkan cinta itu pada sesiapa sahaja.Salahkah aku? kerana tidak merasakan cinta pada masa itu....Tuhan, hatiku kepedihan...berilah aku kekuatan untuk menghadapinya...hanya padaMu ku sandarkan segalanya.....Aku mengesat air mataku yang mengalir tanpa kusedari. Nazarul Mubin,seorang lelaki yang aku kenali semasa sama-sama menuntut di sekolah menengah agama.Tidak dapat kunafikan dia adalah seorang yang 'sempurna' dimata seorang perempuan. Bukan sahaja memiliki rupa paras yang agak kacak tetapi juga pintar dalam pelajarannya,terutamanya dalam subjek matematik. Kepandaian dan kepintarannya itu menjadikan dia bukan sahaja popular tetapi sentiasa menjadi perhatian dan sebutan pelajar perempuan di sekolah itu. Selalu juga aku ditegur oleh adik-adik juniorku yang sibuk bertanyakan Nazarul Mubin ,ayat popular yang kukira yang akan ditanya hingga aku pun jadi hampir bosan ialah “akak ni,kelas sama dengan abang Nazarul kan?akak, dia tu macamana dalam kelas ye? abang nazarul tu baikkan,ustazah selalu puji dia kat kelas kami, akak....bestnya kalau ada abang macam diakan”.Setiap kali aku dengar pujian-pujian mereka tu, aku sekadar mengiyakan sahaja kata-kata mereka.Tetapi aku memang tak hairan sebab dia sememangnya rajin dan tak pernah menyombong diri.Rasanya budak perempuan sekelas aku pun selalu memuji dan tak kurang juga yang meminati dia. Yalah,budak popular....seronok ke jadi popular???? Entahlah aku tak berapa suka popular, cukuplah sekadar aku punya teman-teman yang baik dan ustazah mengenali aku,paling kurang ustazah ingat nama aku,macam Miss Azma,cikgu Sains ku pada masa itu.Tapi kadang-kadang aku merasakan dia seolah-olah memberi tumpuan padaku walaupun aku ni bukan lah pandai sangat dalam subjek Sains yang dia ajar.Setiap kali dalam kelas nama aku sering dipanggil untuk menjawab soalan-soalan Sains dia. Selalu juga aku tak dapat jawab soalan yang dia tanya,mesti aku rasa sedih kalau tak dapat jawab tapi lain pula kalau dapat jawab, rasa gembira semacam saja. Mulanya aku ingat kawan-kawanku tak perasan tapi rupanya mereka perasan hinggakan semasa aku dan kawan-kawanku sama-sama rehat di kantin, kawan rapatku Sarah pernah bertanyakanku,
“eh Dijah,kau perasan tak? Miss Azma tu mesti akan panggil nama kau kan jawab soalan dia?kawan-kawan yang lain memandang kearahku seolah-olah tidak sabar menantikan jawapan daripadaku
“Eh taklah mana ada,diakan memang suka tanya soalan sebelum bermulanya kelas, supaya kita ni amik perhatian dan baca tajuk yang akan kita belajar tu ” aku menyangkal kata-kata Sarah dengan memberi alasan yang kukira hujah yang sah....bersambung

Air mata peperangan....

Thomas Hardy pernah berkata 'war makes ratting good history but peace is poor reading'.Peperangan...memang sesuatu yang bagiku sangat memilukanku.Memang cerita yang tak pernah berkesudahan.Kadang-kadang aku rasa mengapa perlu ada peperangan didunia ini?mengapa perlu ada kejahatan didunia ini?mengapa manusia sanggup melakukan sesuatu yang boleh mengancam nyawa orang lain? sukar untuk aku memahaminya namun aku pasti Tuhan ada alasan mengapa berlakunya peperangan dan kejahatan ini.Peperangan perlu ada kerana jika tidak ada maka manusia tidak akan menyedari dan tidak tahu erti keamanan,lagipun siapa kita untuk menilai apa yang telah Tuhan aturkan buat hamba-hambaNya...

Realisme mengandaikan peperangan berlaku kerana manusia sentiasa tamak dan haloba kerana ingin memiliki dan mengejar keduniaan ini sehingga sanggup mengetepikan segalanya termasuklah moral,agama dan norma-norma kemanusiaan.Oleh itu,mereka mengangap peperangan adalah sesuatu jalan untuk mencapai penyelesaian bagi sesuatu konflik.Itu hanya sedikit untuk menyatakan sebab-sebab mengapa peperangan itu berlaku kerana tiada suatu sebab yang boleh menjelaskan kesemua peperangan yang berlaku didunia ini kerana ia sentiasa berbeza mengikut keadaan pada masa itu,namun mungkin sebab utama adalah adanya kepentingan nasional .Tetapi kalau kita telusuri sejarah Nabi Muhammad saw,dalam ajaran Islam itu sendiri peperangan itu sememangnya dibenarkan tetapi hanyalah untuk menjaga maruah agama Islam itu sendiri dan itupun hanya setelah pendamaian itu gagal.Dan peperangan itu pun terikat pada peraturan dan etika peperangan dalam Islam.Itulah yang tidak dapat dinafikan kerana Islam itu indah dan setiap tindak-tanduknya adalah berdasarkan hukum-hukum Tuhan.....

Setiap kali aku mesti rasa pilu membaca akhbar,ada sahaja cerita perang yang tak habis2 sehinggakan tak larat nak membacanya.Kadang-kadang aku rasa betapa hitamnya hati ini bila ada masa aku merasakan itu perkara biasa.Ya Allah,aku berlindung padaMu.janganlah itu terlintas dihatiku lagi.Apa yang perlu aku buat untuk menghentikan peperangan ini,sedangkan aku tidak mampu.Marilah sama-sama kita menyokong usaha-usaha yang dilakukan untuk menghentikan peperangan ini walaupun mungkin itu sangatlah kecil tetapi jika ia berterusan ia tetap mulia disisi Tuhan.

Aku mahu menulis keranaMu....

Dengan nama Allah swt yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
Alhamdullilah dengan izinNya dapt juga aku menghasilkan blog ini.Sukar dipercayai.hehe
Sebenarnya sudah lama aku menyimpan cita-cita untuk menghasilkan blog kerana aku suka menulis walaupun sebenarnya diri ini serba kekurangan mungkin daripada aspek ilmu mahupun bakat itu sendiri,huhu...Sebenarnya aku selalu berfikir jika aku mahu menghasilkan blog aku mahu menulis untuk siapa? untuk apa? dan kerana siapa?Sememangnya soalan ini sentiasa berlegar-legar dalam kotak pemikiran aku.Seorang pensyarah aku pernah berkata"jika kita mahu menulis,tulislah apa yang kita mahu tapi pastikan ia adalah sesuatu yang bermanfaat pada orang lain".Tetapi aku tidak pasti adakah aku akan dapat menulis sesuatu yang bermanfaat.Aku ingin menyahut cabaran itu.Jadi kukira jika banyaknya kelemahan maka maafkan kekhilafanku ini.Kalau diimbau kenangan dahulu,masa sekolah dulu cikgu selalu tegur aku kalau menulis karangan.Nak tau tak apa? Cikgu kata aku ni kalau menulis ayat terlalu berbunga-bunga.huhu...sebenarnya kadang-kadang aku ni tak dapat kawal diri masa menulis.huhu..Tapi yang pasti aku mahu menulis kerana Allah, walaupun aku tidak pasti adakah ia terbaik dan dapat memberi kebaikan kepada orang lain....